Thursday, December 23, 2010

Produk halal tempatan bertapak di Thailand

Produk halal tempatan bertapak di Thailand

Penduduk Satun meluangkan masa mengunjungi Ekspo Perdagangan Lima Dasar Satun 2010 di Satun, Thailand.


SATUN, Thailand 22 Dis. - MyMalaysia Trading House (MTH), rangkaian pasar raya yang mengedarkan produk halal buatan Malaysia di selatan Thailand berjaya mencatatkan jualan bernilai RM3.8 juta dalam tempoh enam bulan.
Dikendalikan syarikat tempatan, Kumpulan Husam Waksa (HusamWaksa), MTH yang beroperasi sejak Julai lalu kini mampu membawa masuk dua kontena terdiri 30 jenis produk halal ke negara jiran itu setiap bulan dengan purata jualan sebanyak RM640,000.
Pengarah Urusan HusamWaksa, Isa Al-Husam Shuhaimi berkata, perkembangan itu membuktikan produk halal tempatan semakin mendapat tempat di Thailand dengan sasaran pengguna di empat wilayah selatan iaitu Satun, Yala, Narathiwat dan Patani.
''Sejak awal penubuhannya, MTH mensasarkan pasaran kepada pengguna Islam di keempat-empat wilayah selatan Thailand yang dianggarkan mempunyai dua juta penduduk.
''Kita yakin nilai dagangan ini dapat ditingkatkan menerusi pembukaan rangkaian terbaru pasar raya MTH di Songkhla yang kini sedang dalam peringkat akhir perbincangan," katanya kepada ketika ditemui di tapak Ekspo Perdagangan Lima Dasar Satun 2010 yang berlangsung selama lima hari di sini.
Lima Dasar melibatkan lima buah negeri di Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak serta lima wilayah di selatan Thailand iaitu Satun, Songkla, Patani, Yala dan Narathiwat.
Isa Al-Husam yang juga Pengarah Eksekutif MTH memberitahu, sehingga kini, lebih 30 produk tempatan seperti sos, kerepek, kopi, makanan sejuk beku, mee segera, pes makanan, minuman kordial dan biskut berjaya dipasarkan di Thailand.
''Rata-rata produk terbabit dikeluarkan oleh syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dan kejayaan ini membuktikan potensi besar barangan keluaran kita di luar negara khususnya melibatkan industri halal," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengusaha IKS yang berminat untuk memasarkan produk mereka memperkukuh jenama masing-masing.
Mereka yang berminat untuk berbuat demikian boleh menghubunginya menerusi talian 017-7718087 atau e-mel sebarang pertanyaan kepada alhoosam82@yahoo.com. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.